Si
Kancil Menipu Sang Buaya
Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah
merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang
di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka
menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di
dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia
membantu pada bila-bila masa saja.
Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di
dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan
kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan
kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil
berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai
yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang
sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum
dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa
dahaga Sang Kancil.
Kancil terus berjalan-jalan menyusuri
tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin
yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya
"Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat".
Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut
sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di
satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang
sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat
menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir
Sang Kancil.
Sang Kancil terus berfikir mencari akal
bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya.
Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing
sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk
mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri
buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa
khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya
matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi
"Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah
yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa
khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya
tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu
berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".
Kancil berkata "Aku diperintahkan
oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai
ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua".
Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi
Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di
muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar
sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu
Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama
kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai.
Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi
Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi
hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah
kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing
sebelah sana".
Oleh kerana perintah tersebut adalah
datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah.
Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil
mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang
pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua
tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya
begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing
sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan
dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah
menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi
Sulaiman".
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua
buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka
bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan
datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu
Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya
tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk
menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.
Sumber
: http://dongenganak.blogspot.co.id/
0 Komentar
Post a Comment